BAB 4&5: PROSES PEMBENTUKAN KATA

BAB 4&5:PROSES PEMBENTUKAN KATA



Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2010), Nik Safiah Karim menyebut cara membentuk perkataan ini sebagai pembentukan katamanakala Abdullah Hassan di dalam Linguistik Am (2007), menyebutnya sebagai menerbitkan perkataan. Walaupun istilahnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang proses bagaimana cara membentuk perkataan dalam bahasa Melayu

Menurut Nik Safiah Karim (2010), bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya iaitu:

i)        Bentuk kata tunggal.

ii)      Bentuk kata terbitan.

iii)    Bentuk kata majmuk

iv)    Bentuk kata ganda.

Mengikut buku Linguisti Am (2007),  pula Abdullah Hassan menyenaraikan tiga kaedah menerbitkan kata iaitu:

i)        Pengimbuhan.

ii)      Penggandaan

iii)    Pemajmukan

3.1       Bentuk Kata Tunggal

Menurut Nik Safiah Karim (2010), perkataan- perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata tunggal ini pula dibahagikan kepada beberapa jenis kata tunggal iaitu:

i)        Kata tunggal satu suku kata.

ii)      Kata tunggal dua suku kata 

iii)    Kata tunggal tiga suku kata.

iv)    Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Walaupun terdapat kata tunggal yang tidak pernah menerima apa-apa imbuhan seperti ini, itu, sini dan sana. Namun kebanyakan kata tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluas dan menjadi bentuk terbitan. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi daripada satu suku kata atau beberapa suku kata. Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal sahaja atau vokal disertai satu konsonan atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan- konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak di hadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).

3.1.1    Kata tunggal satu suku kata.

Jumlah kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu agak terhad. Ada antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ada juga perkataan yang merupakan kependekan bagi perkataan dua suku kata atau lebih. Misalnya ku untuk aku dan tu untuk itu. Tetapi perkataan sedemikian tidak dianggap perkataan satu suku kata. 

3.1.2    Kata tunggal dua suku kata.

Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata. Antara pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti aku, aur, angka, indah, tua, kuih, guru, bakul, bangsa dan bintang.

3.1.3    Kata tunggal tiga suku kata

Jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil jika dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata. Namun begitu, pola- pola susunan konsonan- vokalnya  agak banyak. Kebanyakan perkataan tiga suku kata ini terdiri daripada kata- kata pinjaman. Contohnya, tuala, ziarah, idea, deria, azali, istanasutera, jendela, akaun dan gelombang.

3.1.4    Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contohnya ialah keluarga, bijaksana, mandalika, dinihari, kapitalis, universiti dan maharajalela. 

            Selain itu, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata akronim boleh ditulis dengan cara:

i)        Gabungan beberapa huruf awal rangkai kata – ABIM

ii)      Gabungan suku kata dengan huruf awal atau dengan suku kata – Mara

iii)    Gabungan suku kata dengan suku kata – tabika

Daripada contoh- contoh di atas, jelas kelihatan bahawa cara pembentukan kata akronim sebagai satu proses pemendekan dan penggabungan untuk membentuk kata mempunyai potensi dalam bahasa Melayu. Tetapi, pembentukkannya agak longgar iaitu tidak berdasarkan prinsip yang jelas. Oleh itu, proses pembentukan ini tidak digalakkan sebagai satu kaedah pembentukan kata untuk membentuk perkataan baharu atau kata istilah dalam bahasa Melayu. Abdullah Hassan tidak menyatakan cara pembentukan kata melalui bentuk kata tunggal di dalam buku Linguistik Am.

3.2       Bentuk  Kata Terbitan / Pengimbuhan

Di dalan buku Tatabahasa Dewan (2010), Nik Safiah Karim menerangkan kata terbitan ialah bentuk perkataaan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata dasar merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kepada kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu :

i)        Kata terbitan berawalan (hadir sebelum kata dasar).

-          Awalan kata nama.

-          Awalan kata kerja

-          Awalan kata adjektif

ii)      Kata terbitan berakhiran (hadir sesudah kata dasar).

-          Akhiran kata nama

-          Akhiran kata kerja

iii)    Kata terbitan berapitan (hadir secara mengapit kata dasar).

-          Apitan kata nama

-          Apitan kata kerja

-          Apitan kata adjektif

iv)    Kata terbitan bersisipan (hadir dicelah kata dasar).

-          Kata nama

-          Kata adjektif

-          Kata kerja

Manakala Abdullah Hassan (2007), menyebut kata terbitan sebagai pengimbuhan. Pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan. Ia dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar. Kata dasar ialah perkataan major yang menerima imbuhan. Kata dasar juga boleh terdiri daripada morfem bebas atau terikat atau satu perkataan terbitan hasil daripada pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Imbuhan adalah morfem terikat iaitu morfem yang tidak dapat berlaku sendiri. Imbuhan mesti dicantumkan kepada kata dasar terlebih dahulu. Imbuhan terdiri daripada :

i)        Awalan (dicantumkan pada pangkal kata dasar)

ii)      Akhiran (dicantumkan pada akhir kata dasar)

iii)    Sisipan (disisip selepas konsonan pertama kata dasar)

iv)    Apitan (dicantum pada pangkal dan akhir kata dasar serentak)

Oleh itu, kita dapat melihat persamaan pendapat antara buku Tatabahasa Dewan dengan buku Linguistik Am dalam membentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar walaupun dari segi istilahnya berbeza kerana Nik Safiah menyebut kata terbitan manakala Abdullah Hassan menyebut pengimbuhan. Tetapi hakikatnya, proses yang berlaku adalah sama.

3.3       Bentuk Kata Majmuk / Pemajmukan

Menurut Tatabahasa Dewan (2010), proses pemajmukan adalah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Sebaliknya pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:

i)        Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaikata kata bebas.

ii)      Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus.

iii)    Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan.

Di samping itu, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum. Contohnya, peribadi, barangkali dan sukacita. Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsure pertama sahaja. Contohnya, alat- alat tulis. Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya, warganegara- warganegara. Kata majmuk juga boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk iaitu;

i)        Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya, campur aduk  - bercampur aduk.

ii)      Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya, satu padu – menyatupadukan.

kata majmuk ialah binaan morfologi tetapi frasa ialah binaan sintaksis. Tiga ciri yang menunjukkan kata majmuk itu bukan frasa ialah:

i)        Kata majmuk mempunyai makna khas sebagai satu perkataan.

ii)      Kata majmuk mempunyai siri kesatuan sebagai satu kata.

iii)     Kata majmuk terdiri daripada satu kumpulan tertutup.

Bentuk Kata Ganda / Penggandaan

Mengikut Nik Safiah, proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses ini, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan iaitu:

i)        Penggandaan penuh

ii)      Penggandaan separa

iii)    Penggandaan berentak

 Penggandaan Penuh    

Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak. 

i)        Penggandaan penuh kata tunggal – contohnya ialah ayat- ayat.

ii)      Penggandaan penuh kata berimbuhan.

-          Dengan awalan – contohnya ialah ketua- ketua.

-          Dengan akhiran – contohnya ialah ajaran- ajaran.

-          Dengan apitan – contohnya persatuan- persatuan.

 Penggandaan separa

Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. 

i)        Penggandaan separa kata tunggal – contohnya ialah sesiku.

ii)      Penggandaan separa kata berimbuhan .

-          Dengan awalan kata kerja- contohnya ialah berlari- lari dan tolong- menolong.

-          Dengan awalan kata adjektif – contohnya ialah sepandai- pandai.

-          Dengan akhiran kata nama – contohnya ialah sayur- sayuran.

-          Dengan akhiran kata kerja – contohnya ialah doa- doakan.

-          Dengan akhiran kata adjektif – contohnya ialah rindu- rinduan.

-          Dengan apitan kata kerja – contohnya ialah bersalam- salaman, mendewa- dewakan, mengulang- ulangi dan dibayang- bayangi.

-          Dengan apitan kata adjektif – contohnya ialah kebodoh- bodohan.

  Penggandaan berentak

Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi- bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi- bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

i)        Penggandaan berentak pengulangan vokal.

ii)      Penggandaan berentak pengulangan konsonan.

iii)    Penggandaan berentak bebas.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Tentang Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

karangan tentang cara-cara untuk menangani stress

Kepentingan Mempertahankan Unsur-Unsur Kebudayaan