BAB 6: PEMBENTUKAN KATA NAMA BAHASA MELAYU



BAB 6: PEMBENTUKAN KATA NAMA BAHASA MELAYU


   PROSES PEMBENTUKAN KATA NAMA BAHASA MELAYU                                                              


 PENGENALAN

Kata baru biasanya muncul dalam dalam suatu bahasa untuk mendukung konsep atau perkara yang baru timbul dalam masyarakat pengguna bahasa itu (Nik Safiah 1989: 239).

Apabila masyarakat berkembang, banyaklah konsep, benda, proses, keadaan atau kejadian baru yang memerlukan kata baru untuk mengungkapnya. Akmajian (1995; 24) turut menjelaskan bahawa kemasukan kata baru ini kerap kali berlaku apabila penutur mencipta kata baru untuk menamai objek yang tidak wujud sebelumnya yang terhasil daripada perubahan teknologi.

            Kata atau istilah dapat dibentuk melalui pelbagai proses seperti pengimbuhan, penambahan, analogi, akronim, peluasan makna, penterjemahan dan peminjaman (Amat Juhari 1985). Menurut Sager (1996), pembentukan kata dapat terdiri daripada penggabungan fonem atau morfem yang benar- benar baru. Malah, menurut Umar (1987), tidak ada pembentukan kata baru sama sekali jika pembentukan kata itu tidak dihubungkan dengan peminjaman atau penggunaan kata lama secara baru. Oleh itu, pembentukan kata biasanya bergantung pada unsur leksikal yang sedia ada. Kebergantungan pada unsur yang sedia ada ini terjadi apabila suatu bahasa itu tidak mempunyai ungkapan yang tepat untuk tujuan tertentu dan penutur biasanya menerima ungkapan sedia ada dan meluaskan maknanya. 

            Secara amnya, teori bahasa sesuatu bahasa ialah tatabahasa. Tatabahasa bahasa menjadi asas untuk penglahiran bahasa yang indah dan mudah difahami oleh penggunanya.  Oleh itu bahasa dapat diekplotasikan untuk mewujudkan gaya dan laras bahasa yang tersendiri.  Dengan itu, bahasa mestilah tepat, lengkap, tuntas, lugas dan mudah difahami serta mencerminkan kebolehan dalaman penutur jati yang ideal.

      DEFINISI PEMBENTUKAN KATA

Nik Safiah Karim (2010), mendefinisikan perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa. Perkataan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Pembentukan kata dapat dilihat dari segi unsur-unsur  yang membentuknya, yakni unsur-unsur yang bagaimana dan juga hubungan paradigmatik antara unsur-unsur berkenaan. Unsur-unsur yang mendirikan kata adalah morfem dan penelitian tentang gabungan morfem menjadi kata itulah yang dikenal sebagai morfologi.

      PERBANDINGAN

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2010), Nik Safiah Karim menyebut cara membentuk perkataan ini sebagai pembentukan katamanakala Abdullah Hassan di dalam Linguistik Am (2007), menyebutnya sebagai menerbitkan perkataan. Walaupun istilahnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang proses bagaimana cara membentuk perkataan dalam bahasa Melayu

Menurut Nik Safiah Karim (2010), bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya iaitu:

i)        Bentuk kata tunggal.

ii)      Bentuk kata terbitan.

iii)    Bentuk kata majmuk

iv)    Bentuk kata ganda.

Mengikut buku Linguisti Am (2007),  pula Abdullah Hassan menyenaraikan tiga kaedah menerbitkan kata iaitu:

i)        Pengimbuhan.

ii)      Penggandaan

iii)    Pemajmukan

      Bentuk Kata Tunggal

Menurut Nik Safiah Karim (2010), perkataan- perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata tunggal ini pula dibahagikan kepada beberapa jenis kata tunggal iaitu:

i)        Kata tunggal satu suku kata.

ii)      Kata tunggal dua suku kata 

iii)    Kata tunggal tiga suku kata.

iv)    Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Walaupun terdapat kata tunggal yang tidak pernah menerima apa-apa imbuhan seperti ini, itu, sini dan sana. Namun kebanyakan kata tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluas dan menjadi bentuk terbitan. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi daripada satu suku kata atau beberapa suku kata. Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal sahaja atau vokal disertai satu konsonan atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan- konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak di hadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).

    Kata tunggal satu suku kata.

Jumlah kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu agak terhad. Ada antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ada juga perkataan yang merupakan kependekan bagi perkataan dua suku kata atau lebih. Misalnya ku untuk aku dan tu untuk itu. Tetapi perkataan sedemikian tidak dianggap perkataan satu suku kata. 

    Kata tunggal dua suku kata.

Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata. Antara pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti aku, aur, angka, indah, tua, kuih, guru, bakul, bangsa dan bintang.

    Kata tunggal tiga suku kata

Jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil jika dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata. Namun begitu, pola- pola susunan konsonan- vokalnya  agak banyak. Kebanyakan perkataan tiga suku kata ini terdiri daripada kata- kata pinjaman. Contohnya, tuala, ziarah, idea, deria, azali, istanasutera, jendela, akaun dan gelombang.

   Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contohnya ialah keluarga, bijaksana, mandalika, dinihari, kapitalis, universiti dan maharajalela. 

            Selain itu, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata akronim boleh ditulis dengan cara:

i)        Gabungan beberapa huruf awal rangkai kata – ABIM

ii)      Gabungan suku kata dengan huruf awal atau dengan suku kata – Mara

iii)    Gabungan suku kata dengan suku kata – tabika

Daripada contoh- contoh di atas, jelas kelihatan bahawa cara pembentukan kata akronim sebagai satu proses pemendekan dan penggabungan untuk membentuk kata mempunyai potensi dalam bahasa Melayu. Tetapi, pembentukkannya agak longgar iaitu tidak berdasarkan prinsip yang jelas. Oleh itu, proses pembentukan ini tidak digalakkan sebagai satu kaedah pembentukan kata untuk membentuk perkataan baharu atau kata istilah dalam bahasa Melayu. Abdullah Hassan tidak menyatakan cara pembentukan kata melalui bentuk kata tunggal di dalam buku Linguistik Am.

     Bentuk  Kata Terbitan / Pengimbuhan

Di dalan buku Tatabahasa Dewan (2010), Nik Safiah Karim menerangkan kata terbitan ialah bentuk perkataaan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata dasar merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kepada kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu :

i)        Kata terbitan berawalan (hadir sebelum kata dasar).

-          Awalan kata nama.

-          Awalan kata kerja

-          Awalan kata adjektif

ii)      Kata terbitan berakhiran (hadir sesudah kata dasar).

-          Akhiran kata nama

-          Akhiran kata kerja

iii)    Kata terbitan berapitan (hadir secara mengapit kata dasar).

-          Apitan kata nama

-          Apitan kata kerja

-          Apitan kata adjektif

iv)    Kata terbitan bersisipan (hadir dicelah kata dasar).

-          Kata nama

-          Kata adjektif

-          Kata kerja

Manakala Abdullah Hassan (2007), menyebut kata terbitan sebagai pengimbuhan. Pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan. Ia dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar. Kata dasar ialah perkataan major yang menerima imbuhan. Kata dasar juga boleh terdiri daripada morfem bebas atau terikat atau satu perkataan terbitan hasil daripada pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Imbuhan adalah morfem terikat iaitu morfem yang tidak dapat berlaku sendiri. Imbuhan mesti dicantumkan kepada kata dasar terlebih dahulu. Imbuhan terdiri daripada :

i)        Awalan (dicantumkan pada pangkal kata dasar)

ii)      Akhiran (dicantumkan pada akhir kata dasar)

iii)    Sisipan (disisip selepas konsonan pertama kata dasar)

iv)    Apitan (dicantum pada pangkal dan akhir kata dasar serentak)

Oleh itu, kita dapat melihat persamaan pendapat antara buku Tatabahasa Dewan dengan buku Linguistik Am dalam membentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar walaupun dari segi istilahnya berbeza kerana Nik Safiah menyebut kata terbitan manakala Abdullah Hassan menyebut pengimbuhan. Tetapi hakikatnya, proses yang berlaku adalah sama.

       Bentuk Kata Majmuk / Pemajmukan

Menurut Tatabahasa Dewan (2010), proses pemajmukan adalah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Sebaliknya pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:

i)        Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaikata kata bebas.

ii)      Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus.

iii)    Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan.

Selain itu, terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Contohnya, antarabangsa.

Di samping itu, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum. Contohnya, peribadi, barangkali dan sukacita. Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsure pertama sahaja. Contohnya, alat- alat tulis. Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya, warganegara- warganegara. Kata majmuk juga boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk iaitu;

i)        Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya, campur aduk  - bercampur aduk.

ii)      Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya, satu padu – menyatupadukan.

Dalam buku Linguistik Am pula, Abdullah Hassan menyebutnya pemajmukan. Kata majmuk ialah binaan perkataan yang lazimnya terdiri daripada dua kata. Setiap kata tersebut boleh terdiri daripada kata akar atau kata terbitan. Kata majmuk yang dihasilkan bertaraf sebagai perkataan. Ini bermakna kata majmuk tersebut mempunyai ciri- ciri kesatuan sebagai satu patah perkataan, mempunyai satu makna seperti satu perkataan dan mempunyai fungsi sebagai satu perkataan.

      Apabila kata- kata tersebut bergabung menurut hukum binaan sintaksis bahasa Melayu, iaitu diterangkan mendahului yang menerangkan, maka kita katakan binaan itu mematuhi hukum DM. Kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk sintaktik. Contohnya ialah kaji cuaca dan sebar luas. Apabila kata majmuk itu bergabung dengan tidak menurut hukum DM, maka binaan kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk bukan sintaktik. Contohnya ialah bumiputera dan mahasiswa. Kata bumi ialah penerang dan putera ialah inti yang diterangkan. Ini bermakna binaan ini menurut hukum MD iaitu yang menerangkan mendahului inti yang diterangkan.

Menurut Abdullah Hassan (2007), kata majmuk ialah binaan morfologi tetapi frasa ialah binaan sintaksis. Tiga ciri yang menunjukkan kata majmuk itu bukan frasa ialah:

i)        Kata majmuk mempunyai makna khas sebagai satu perkataan.

ii)      Kata majmuk mempunyai siri kesatuan sebagai satu kata.

iii)     Kata majmuk terdiri daripada satu kumpulan tertutup.

Penulisan kata majmuk dieja bergantung kepada kebiasaan. Ada yang dieja terpisah  contohnya kereta api. Ada juga kata majmuk yang dieja bergabung contohnya antarabangsa. Pandangan ini adalah sama dengan Nik Safiah kerana di dalam buku Tatabahasa Dewan terdapat 30 kata majmuk yang dieja sebagai satu perkataan. Selain itu, ada juga kata majmuk yang digandakan seluruhnya bagi menunjukkan bilangan yang banyak. Contohnya ialah kakitangan- kakitangan. Kata majmuk juga dipecahkan kepada kata nama majmuk, kata kerja majmuk, kata adjektif majmuk, kata adverba majmuk dan kata tugas majmuk.

       Bentuk Kata Ganda / Penggandaan

Mengikut Nik Safiah, proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses ini, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan iaitu:

i)        Penggandaan penuh

ii)      Penggandaan separa

iii)    Penggandaan berentak

        Penggandaan Penuh    

Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak. 

i)        Penggandaan penuh kata tunggal – contohnya ialah ayat- ayat.

ii)      Penggandaan penuh kata berimbuhan.

-          Dengan awalan – contohnya ialah ketua- ketua.

-          Dengan akhiran – contohnya ialah ajaran- ajaran.

-          Dengan apitan – contohnya persatuan- persatuan.

        Penggandaan separa

Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. 

i)        Penggandaan separa kata tunggal – contohnya ialah sesiku.

ii)      Penggandaan separa kata berimbuhan .

-          Dengan awalan kata kerja- contohnya ialah berlari- lari dan tolong- menolong.

-          Dengan awalan kata adjektif – contohnya ialah sepandai- pandai.

-          Dengan akhiran kata nama – contohnya ialah sayur- sayuran.

-          Dengan akhiran kata kerja – contohnya ialah doa- doakan.

-          Dengan akhiran kata adjektif – contohnya ialah rindu- rinduan.

-          Dengan apitan kata kerja – contohnya ialah bersalam- salaman, mendewa- dewakan, mengulang- ulangi dan dibayang- bayangi.

-          Dengan apitan kata adjektif – contohnya ialah kebodoh- bodohan.

       Penggandaan berentak

Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi- bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi- bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

i)        Penggandaan berentak pengulangan vokal.

ii)      Penggandaan berentak pengulangan konsonan.

iii)    Penggandaan berentak bebas.

Di dalam buku Linguistik Am (2007), Abdullah Hassan turut menyatakan proses penerbitan kata boleh berlaku melalui penggandaan manakala Nik Safiah menyebutnya sebagai bentuk kata ganda. Walaupun istilah berbeza tetapi ia membawa maksud yang sama. Pada pendapat Abdullah Hassan, penggandaan ialah proses menerbitkan perkataan dengan menggandakan kata dasar. Abdullah Hassan menyenaraikan empat jenis penggandaan menurut cara kata dasar digandakan iaitu:

i)        Gandaan penuh.

ii)      Gandaan separa.

iii)    Gandaan rentak

iv)    Gandaan bebas.

      Gandaan Penuh.

Gandaan penuh boleh dilakukan pada kata akar dan kata terbitan daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.

i)        Kata Nama (membawa maksud banyak dan menyerupai). Contohnya:

-          meja- meja ( banyak meja).

-          Orang- orang (banyak orang atau lembaga orang bagi menakutkan burung di sawah)

ii)      Kata Kerja (membawa maksud perbuatan dilakukan berulang atau tidak serius). Contohnya:

-          Makan- makan (makan berterusan)

-          Main- main (main berterusan, tidak serius melakukan sesuatu)

iii)    Kata Adjektif ( membawa maksud sifat yang menyeluruh). Contohnya:

-          Putih- putih (putih belaka)

iv)    Kata Adverba (menerangkan bila dan jangka masa sesuatu perbuatan atau perihal keadaan berlaku). Contohnya:

-          Sampai- sampai (sebaik sahaja sampai)

v)      Kata Terbitan (menghasilkan perkataan kompleks). Contohnya:

-          Pemain- pemain (ramai pemain)

    Gandaan Separa

Penggandaan separa adalah kelainan bentuk penggandaan penuh yang berlaku kepada kata nama tunggal. Seluruh kata tunggal boleh digandakan atau hanya suku kata pertama digandakan. Bunyi vokal dalam suku kata yang digandakan itu berubah menjadi e pepet. Kata ganda separa membawa maksud yang sama dengan kata ganda penuh. Contohnya:

i)        Kata Nama – laki            laki- laki         lelaki (jantan, ramai laki- laki)

ii)      Kata Kerja – tulis          tulis- tulis         tetulis ( menulis berkali- kali)

iii)    Kata Adjektif – sedap          sedap- sedap        sesedap (sedap belaka)

iv)    Kata Adverba – laju         laju- laju          lelaju (dengan laju)

    Gandaan Rentak

Ada beberapa kata nama yang boleh menerima penggandaan rentak sama ada rentak suku kata atau berentak bunyi. Fungsi gramatis penggandaan rentak ialah menunjukkan banyak yang beraneka. Perubahan suku kata atau bunyi vokal memberi tambahan aneka kepada pengertian banyak yang sudah ada pada kata ganda tersebut. Terdapat tiga jenis penggandaan rentak iaitu :

i)        Rentak suku kata awal – bukit          bukit- bukau

ii)      Rentak suku kata akhir – lauk          lauk- pauk

iii)    Rentak bunyi vokal – suku           suku – sakat

     Gandaan Bebas

Bentuk gandaan bebas mengandungi bentuk bebas. Bentuk kata dasar itu ada tetapi gandaannya hanya wujud dalam bentuk penggandaan sahaja. Fungsi gramatisnya juga menunjukkan banyak. Bilangan penggandaan begini tidak banyak. Contohnya  ialah:

- ipar        ipar- duai (ramai ipar)

            Rangkap kata berbeza daripada kata ganda. Dalam gandaan, ada kata dasar yang digandakan. Dalam rangkap kata, kedua- dua perkataan itu adalah perkataan lain sama sekali. Sebagai contoh cerdik pandai ialah rangkap kata. Bentuk perkataan pandai bukanlah pengganda kepada cerdik. Sebaliknya pandai ialah pasangan rangkap kepada cerdik. Oleh sebab itu, rangkap kata bukanlah kata bebas.

     Kata Ganda dan Imbuhan

Perkataan berganda juga berlaku dengan imbuhan. Bagi kata nama, penggandaan mestilah berlaku di awal, di akhir atau mengapit kata dasar yang digandakan. Kata ganda nama boleh menerima imbuhan ber-, -an, me-…-kan dan di-…-kan. Contohnya:

i)        Dengan awalan- ber + hari- hari          berhari- hari

ii)      Dengan akhiran – ber + bunga- bunga         berbunga- bunga.

iii)    Dengan apitan – dikepal- kepalkan

iv)    Dengan awalan di tengah – rayu- merayu

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Tentang Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

karangan tentang cara-cara untuk menangani stress

Kepentingan Mempertahankan Unsur-Unsur Kebudayaan